fb fb fb fb fb

Raja Permaisuri Agong berkenan agih bubur lambuk di Kampong Bharu

FOTO JAWI

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Istana Negara, Masjid Jamek Kampong Bharu, dan Persatuan Anak Melayu Johor menganjurkan Majlis Agihan Bubur Lambuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah di Masjid Jamek Kampong Bharu. 

JAWI menerusi satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja memasak bubur lambuk dimulakan pada pukul 7.00 pagi disertai oleh para petugas masjid dan sukarelawan dalam kalangan masyarakat setempat serta warga JAWI.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan beramah mesra bersama para petugas dan kemudian mengurniakan bubur lambuk yang siap dibungkus kepada orang ramai, wakil-wakil masjid dari tujuh zon di Wilayah Persekutuan serta wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk golongan mualaf, Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran dan Penglihatan serta Persatuan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia. 

Penganjuran majlis agihan bubur lambuk tersebut berhasrat untuk menyebarluaskan mesej penting tentang peranan institusi masjid yang bukan sahaja menjadi tempat beribadat, tetapi juga berfungsi sebagai medan menyuburkan semangat muhibah dan memperkukuh kesatuan ummah lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Dianggarkan sejumlah 12,500 bungkus bubur lambuk dapat diagihkan untuk dinikmati oleh ahli kariah dan masyarakat sekitar sempena program tersebut.

Turut hadir Kolonel Datuk Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI, Datuk Seri Dr Syed Hussein Al-Habshee, Presiden Persatuan Anak Melayu Johor Wilayah Persekutuan dan Selangor, dan Dato’ Mohd Khay Ibrahim, Pengerusi Masjid Jamek Kampong Bharu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE