ARAU, 16 Jun- Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan Salam Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat negeri Perlis, semua kerabat DiRaja serta rakan taulan di mana sahaja mereka berada.
Baginda mendoakan agar segala ibadah yang dilaksanakan diredhai dan diberkati oleh Allah SWT serta mampu menyucikan hati serta membuka 1001 pintu rezeki untuk yang telah berjaya menikmati zatnya.
Dalam kenyataan Istana Arau, Tuanku Syed Sirajuddin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang tidak putus-putus mendoakan kesembuhan, ri'ayah dan pemeliharaan ke hadapan baginda dan bersyukur kehadrat Allah Azza Wajalla, tahap kesihatan baginda amat baik serta dalam ‘afiyah.
Pada kesempatan yang sama, Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidiladha 1445H’ dan 'Taqabbalallahu minna wa minkum' kepada seluruh muslimin dan muslimat di negeri Perlis.
Baginda berdua beserta anakanda-anakanda baginda kini berada di Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji.
Baginda berdua turut mengingatkan kepada seluruh rakyat, agar menggunakan kesempatan Aidiladha ini untuk sentiasa bermuhasabah diri, memperbanyakkan amalan soleh, berpuasa pada hari-hari sebelumnya serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah Azza Wajalla kepada kita semua.