fb fb fb fb fb

Raja Perlis seru hubungan baik kerajaan negeri dan persekutuan

PERLIS, 14 Mac- Kerajaan Negeri serta semua wakil rakyat harus meningkatkan usaha bagi mewujudkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan usaha membangunkan negeri berjalan lancar.

Dalam hal ini, kepentingan rakyat perlu diberi keutamaan dengan mengetepikan fahaman politik masing-masing.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mewakili Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, kerajaan perpaduan yang ada hari ini diharap memberikan kerjasama yang baik dan tidak meminggirkan Perlis daripada arus pembangunan negara.

"Melihat kepada keadaan semasa kewangan negeri, beta menyarankan supaya perancangan perbelanjaan dibuat dengan teliti dan berhemah.

"Beta menyeru supaya kerajaan negeri berbelanja mengikut keutamaan dan memberi fokus kepada perkara-perkara yang dapat memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat negeri ini.

"Perbelanjaan yang tidak berpaksikan rakyat dan pembaziran harus dielakkan sama sekali," titah baginda ketika Perasmian Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks Dewan Undangan Negeri, Kangar.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Media Baharu