fb fb fb fb fb

Raja Muda Selangor serah sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim

Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan Wakaf Fisabilillah bernilai RM40,000 yang disaksikan sendiri oleh Baginda.

RAWANG, 22 Mac – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah hari ini berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 60 anak yatim dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Asrama Damai Kuang, di sini.

Majlis berkenaan merupakan siri keenam program kebajikan YIDE tahun ini yang bertujuan menyantuni anak-anak yatim di seluruh negeri menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Baginda turut berkenan menyampaikan Sijil Penghargaan kepada anak-anak yatim yang cemerlang.

Dalam pada itu, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyerahkan sumbangan Wakaf Fisabilillah bernilai RM40,000 yang disaksikan sendiri oleh Baginda.

Sumbangan itu bertujuan bagi penggantian permaidani dan karpet surau Asrama Damai Kuang.

Terdahulu, PWS turut menyerahkan sumbangan wakaf berjumlah RM50,000 bagi menaik taraf infrastruktur Pusat Dialisis MAIS, Cawangan Sungai Besar yang turut dikendalikan oleh YIDE.

Jumlah keseluruhan sumbangan wakaf yang disalurkan PWS hari ini mencecah RM90,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, pihaknya menjunjung kasih atas limpah perkenan Raja Muda Selangor yang sudi menerima menghadap dan menyaksikan penyerahan wakaf tersebut.

“Sumbangan ini merupakan wakaf orang ramai yang melazimi ibadah wakaf melalui PWS. Kami hanya memanjangkan jariah pewakaf dengan membantu institusi yang memerlukan dalam bentuk aset,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai khususnya warga Selangor agar menjadikan amalan wakaf sebagai budaya hidup sepanjang tahun, lebih-lebih lagi sempena Bulan Ramadan yang juga merupakan Bulan Wakaf Negeri Selangor.

“PWS menzahirkan penghargaan kepada semua pewakaf dan mengajak masyarakat untuk terus melaksanakan wakaf tunai melalui saluran rasmi PWS yang diyakini dan dipercayai,” tambahnya.

Majlis turut diserikan dengan sesi tazkirah Ramadan dan solat Zohor berjemaah, sebelum Tengku Amir Shah berangkat pulang selepas sesi bergambar bersama anak-anak yatim.

Sehingga kini, lebih 13,000 anak yatim di seluruh Selangor telah menerima manfaat daripada inisiatif kebajikan YIDE dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.95 juta.

GRACE AISYAH KEDAYAN