fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis tuntut komitmen Ahli Lembaga Pengarah KUIPS

Foto Istana Arau

KUALA PERLIS, 27 Mac- Setiap Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti KUIPs dituntut agar sentiasa menjunjung titah tujuh Amanat Raja Perlis yang dizahirkan sejak 20 April 2017.

Amanat itu antaranya menekankan pelbagai aspek berkaitan kemajuan Islam dan pemikiran rakyat dalam mendaulatkan agama Islam dengan berpegang teguh kepada ajarannya yang sahih dalam memacu hala tuju universiti.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti merupakan suatu keperluan yang bertujuan agar Lembaga ini dapat memberi sumbangan idea, pengalaman dan kepakaran dalam memperkasakan dan memajukan pengurusan KUIPs.

Selain itu, perlu melaksanakannya dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab seterusnya menentukan hala tuju strategik universiti agar pengurusan universiti bertindak dengan lebih dinamik, progresif dan telus tanpa sebarang agenda lain.

“Dengan pelantikan ini juga, KUIPs dapat mencapai visi dan misi untuk menjadi institusi akademik berteraskan Islam terkemuka di peringkat antarabangsa yang menawarkan gabungan program pengajian Islam tradisional dan kontemporari, di samping melahirkan teknokrat Muslim yang memacu pembangunan dan pemodenan negara."

Baginda bertitah ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Univerisiti KUIPs bagi tahun 2024/2025 yang berlangsung di Auditorium KUIPs, di sini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Canselor KUIPs turut menzahirkan harapan agar semua Ahli Lembaga Pengarah KUIPs dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti dapat bersatu hati dan menjalankan tanggungjawab untuk mencapai objektif dan sasaran penubuhan KUIPs berdasarkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman masing-masing yang berlatar belakangkan pelbagai bidang.

TETITIA YUSOFF