fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis saran jadikan negerinya lokasi penganjuran sukan

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Stadium Tuanku Syed Putra, kolam renang dan beberapa fasiliti sukan yang lain

KANGAR, 11 Februari - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa agensi-agensi kerajaan mahupun swasta serta Persekutuan dan Persatuan sukan kebangsaan menimbangkan untuk memilih Perlis sebagai antara venue temasya sukan tahunan mereka sepanjang tahun 2024 hingga 2026.

Ini bersempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 dan juga Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Selain segala kemudahan yang terdapat di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar yang dikendalikan Majlis Sukan Negeri (MSN), Perlis juga mempunyai institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), UiTM Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kangar yang mempunyai pelbagai fasiliti sukan dan boleh juga menjadi perkampungan atlet," Titah baginda selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Stadium Tuanku Syed Putra, kolam renang dan beberapa fasiliti sukan yang lain, di sini.

Beberapa projek pembangunan dan penambahbaikan sedang berjalan dalam usaha menyediakan fasiliti dan kemudahan yang terbaik khususnya sebagai persiapan untuk atlet negeri ini mengambil bahagian dalam temasya seperti Sukan Malaysia.

TETITIA YUSOFF