fb fb fb fb fb

Raja Muda Perlis cemar duli majlis apresiasi Pameran Rahsia Kebaya

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menghadiri majlis apresiasi sempena Pameran Rahsia Kebaya  di Muzium Tekstil Negara di sini/FOTO Perpaduan Negara

KUALA LUMPUR, 19 November - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil mencemar duli menghadiri majlis apresiasi sempena Pameran Rahsia Kebaya  di Muzium Tekstil Negara di sini.

Majlis ini diadakan sebagai manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada rakan kerjasama Pameran Rahsia Kebaya termasuk Istana Negeri, Agensi persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan muzium persendirian.

Pameran yang diadakan di Muzium Tekstil Negara itu juga bagi menggalakkan kerjasama antara pemain industri khususnya dalam memperkuatkan jaringan kerjasama strategik pameran ini.

Selain membantu dalam pembangunan dan peningkatan dasar, peranan, fungsi dan misi Jabatan Muzium Malaysia.

Pameran itu juga mempamerkan keunikan, keanggunan dan kepelbagaian busana kebaya yang menjadi identiti nasional rakyat Malaysia.

Turut diperagakan dalam pameran ini adalah koleksi peribadi kebaya Selangor milik Tengku Permaisuri Selangor, kebaya Perlis koleksi peribadi Tuanku Raja Puan Muda Perlis, dan kebaya labuh milik almarhum Tuanku Ampuan Najihah.

Penganjuran majlis ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan kerjasama strategik dalam usaha mengangkat, memelihara dan memulihara warisan tekstil di Malaysia.

Pada 25 Oktober lalu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan merasmikan Pameran Rahsia Kebaya yang berlangsung di Muzium Tekstil Negara.

Pameran Rahsia Kebaya dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dibuka kepada orang ramai sejak 19 Oktober lalu hingga 31 Disember ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN