fb fb fb fb fb

Rafizi nafi PADU digodam, kenyataan rasmi akan dikeluarkan

Tangkap layar kenyataan Rafizi Ramli di X/ @rafiziramli

KUALA LUMPUR, 20 Februari- Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan bahawa Pangkalan Data Pusat (PADU) digodam seperti yang tular di plaform X ketika ini.

Beliau menerusi platform sama menyatakan bahawa pihak PADU akan mengeluarkan kenyataan ringkas menafikan perkara berkenaan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, Rafizi menegur forum dalam talian Lowyat.net kerana menyebarkan maklumat salah dengan mendakwa sistem PADU telah digodam oleh kumpulan dikenali sebagai R00TK1T.

Selain PADU, Lowyat.net juga melaporkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut digodam oleh kumpulan sama.

“Terima kasih Lowyat.net kerana tidak menyemak fakta terlebih dulu.

"Sekurang-kurangnya anda patut hubungi @paduofficial_ untuk pengesahan," ujarnya.

PADU dilancarkan pada 2 Januari lalu dengan sasaran untuk memastikan penyampaian berkesan subsidi bersasar.

SITI AISHAH BINTI MD ISA