fb fb fb fb fb

Proses bedah siasat selesai, jenazah Akil Syauqi akan dikebumikan di Kulim

Jenazah Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, 3, di pekarangan Hospital Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 10 Julai- Proses bedah siasat Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, 3, yang meninggal dunia selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kulim selesai pukul 3.00 petang tadi di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang dekat sini.

Jenazah Muhammad Akil Syauqi turut dimandikan di hospital sama dan akan dibawa pulang ke kampung halaman ibunya di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kulim, Kedah untuk urusan pengebumian.

Sementara itu, adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih kritikal di hospital sama.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Akil Syauqi dan Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang digantungkan pada dawai besi di sekeliling pagar kebun berdekatan rumah mereka, dipercayai digunakan untuk memerangkap monyet.

Kejadian pada Ahad lepas itu disedari ibu mereka pada 11.00 pagi selepas mendapati anak-anaknya muntah dan mengalami mulut berbuih.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta 611 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

ARTIKEL BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA