fb fb fb fb fb

Putera Mahkota Brunei berangkat pulang

Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah/ Foto BERNAMA

SUBANG JAYA, 21 Ogos- Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah berangkat pulang ke Brunei pada pukul 3.30 petang tadi menggunakan pesawat khas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang selepas menamatkan lawatan rasmi selama lima hari di Malaysia.

Putera Mahkota Brunei diiringi isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah tiba di Pangkalan Udara TUDM pada pukul 3.15 petang sebelum berangkat.

Keberangkatan pulang Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah serta delegasi turut disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Dalam tempoh lawatan itu Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei turut berkenan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, dan berbincang mengenai usaha mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Sebelum menaiki pesawat Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah berjalan melepasi kawalan kehormatan setempat terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Amirul Akmal Osman.

Lawatan Putera Mahkota Brunei menandakan hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat, terutamanya ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI