fb fb fb fb fb

Pusat sehenti perkhidmatan autisme bakal ditubuh

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme yang berfungsi sebagai pusat sehenti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata institusi itu menawarkan perkhidmatan komprehensif termasuk diagnosis awal, intervensi awal serta sokongan kepada keluarga.

Beliau turut memaklumkan setakat Jun lepas, terdapat 579 pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berdaftar di seluruh negara.

Lebih 20,000 orang kurang upaya (OKU) telah menerima manfaat daripada penubuhan PDK.

"Dalam usaha meluaskan capaian intervensi awal, di kawasan luar bandar KPWKM menggalakkan penyertaan OKU dalam PDK agar dapat belajar kemahiran mengurus diri dan membantu integrasi dengan lebih mudah.

"Program PDK diwujudkan untuk pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), di Dewan Negara.

Bagi menggalakkan penubuhannya, kerajaan telah menyalurkan subsidi kepada pertubuhan PDK.

"Sehingga Jun 2025, kesemua 579 PDK telah menerima peruntukan subsidi bernilai lebih RM68 juta daripada JKM sebagai galakan dan meringankan beban kos operasi," katanya.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN