(Abdul Kadir ditemu bual di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni
Kuala Muda, Sg Petani)
KUALA MUDA, 12 Mei- Pusat Reintegrasi diwujudkan bawah Jabatan Penjara Malaysia bagi mendekatkan penghuni penjara dengan anggota masyarakat.
Pusat itu juga mendidik mereka tentang pekerjaan dan pelbagai kursus termasuk berkaitan tanaman, pertanian dan projek ikan air tawar sebagai persediaan sebelum dibebaskan.
Pengarah Penjara negeri Kedah, Timbalan Komisioner Penjara Abdul Kadir Jailani Ismail berkata penghuni yang ditempatkan di pusat itu akan berasa yakin tidak dipinggirkan.
"Sebab mereka keluar dah ada pekerjaan, ada wang saku, dia dah ada gaji, jadi dia tak balik kepada rakan-rakan dia yang lama dan masyarakat dah mula yakin.
"Kalau dulu dah bebas dari penjara, keluarga pun tak nak terima. Hari ini keluarga dah berasa yakin, sebab itu program ini kita lihat mereka bersama dengan keluarga dah mulai yakin bahawa mereka ini dah banyak berubah," kata Abdul Kadir kepada RTM di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni Kuala Muda, Sg Petani, di sini.
Menurutnya, banduan yang ditempatkan di pusat ini adalah banduan yang mempunyai baki hukuman penjara tiga tahun kebawah.
Pusat yang diwujudkan dua tahun lalu itu telah berjaya mengeluarkan hampir ribuan banduan yang mempunyai keyakinan diri, tidak lagi mengulangi kesalahan dan mampu berdikari hasil latihan kemahiran yang berikan.
(Abdul Kadir memotong kek di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Reintegrasi Penghuni
Kuala Muda, Sg Petani)