PASIR MAS, 4 Disember- Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) akan menjadi kemudahan perlindungan penduduk terjejas banjir yang lebih baik dan membawa manfaat lebih besar kepada rakyat berbanding pusat pemindahan sementara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat persiapan serta penyelenggaraan dan pembinaan dewan yang lebih tersusun.
"Kita harap dari segi penyelenggaraan dapat dilaksanakan penempatan kekal. Maknanya ada keluarga besar yang memerlukan penyelenggaraan lebih tinggi.
"Di peringkat KPM, tiada masalah membuat persiapan dan penyelenggaraan yang pastinya akan memberikan manfaat cukup besar kepada rakyat", katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa bertemu dengan penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PPKB akan diwujudkan segera, dengan projek rintis dimulakan di sembilan buah negeri.
Sementara itu, mengulas mengenai persediaan KPM jika berdepan dengan gelombang banjir yang lebih besar, Fadhlina berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal termasuk memberi keutamaan kepada pelajar yang menetap di PPS dan kediaman yang terputus hubungan sehingga mereka gagal untuk hadir ke sekolah