fb fb fb fb fb

Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber berpotensi jadi destinasi antarabangsa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)/BERNAMA

CYBERJAYA, 26 Mac- Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber (CCoE) Malaysia berpotensi menjadi destinasi antarabangsa untuk menangani ancaman siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia merupakan pencapaian penting bagi mewujudkan ekosistem keselamatan siber yang teguh merentasi sektor awam dan swasta.

"Kita boleh bekerjasama menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran kepakaran antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain termasuk berkongsi maklumat perisikan ancaman.

"Kami membayangkan pusat ini sebagai hab pembinaan kapasiti untuk rantau Asia Tenggara, dengan tumpuan khusus untuk meningkatkan perkongsian risikan ancaman dan memupuk kerjasama serantau dalam mengurangkan ancaman keselamatan siber dan memerangi jenayah siber", katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber di Cyberjaya, hari ini.

Jelasnya, CCoE mampu meningkatkan daya tahan keselamatan siber dengan memastikan data, perbualan dan rakyat negara selamat.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia kekurangan hampir 12,000 pekerja profesional keselamatan siber dan memerlukan 25,000 pekerja dalam bidang itu menjelang 2025.

Beliau berkata, Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber hasil kerjasama strategik Malaysia-Kanada menerusi BlackBerry Ltd dan penyedia latihan keselamatan siber terbesar dunia, SANS Institute.

"Hari ini, kami turut meraikan pengijazahan kohort pertama pembela siber berkemahiran tinggi, yang dilatih oleh Institut SANS dan BlackBerry.

"Pencapaian ini menggambarkan impak langsung CCoE yang menyumbang kepada peningkatan kemahiran keselamatan siber dan memupuk budaya inovasi dan rangkaian profesional.

Jelasnya, Malaysia perlu menjalin kerjasama antarabangsa yang menerima pakai teknologi terkini sekali gus memastikan keselamatan data negara dan rakyat.

Penubuhan CCoE itu juga merupakan pusat pertama bagi BlackBerry Ltd di rantau Asia Pasifik.

ROSLINA BINTI DIN