fb fb fb fb fb

Pusat Kajian Malaysia pertama di Jepun kini dibuka

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghani (tiga dari kiri) menyempurnakan majlis perasmian Pusat Kajian Malaysia di Bangunan Makmal Penyelidikan, Universiti Soka di Tokyo pada 25 April lalu

KUALA LUMPUR, 5 Mei - Malaysia-Jepun bekerjasama dalam penyelidikan antarabangsa dengan memberi tumpuan terhadap isu sosial dan kemanusiaan kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata ini dibuktikan dengan kewujudan Pusat Kajian Malaysia yang pertama di negara itu di Bangunan Makmal Penyelidikan, Universiti Soka, Tokyo, pada 25 April lalu.

Menurut beliau, pembukaan pusat kajian itu juga menunjukkan hubungan akrab di antara kedua-dua negara yang terbentuk sejak tahun 1957.

"Ia memberikan peranan penting kepada pembangunan sumber manusia, terutamanya melalui pewujudan Dasar Pandang ke Timur atau Look East Policy (LEP) pada tahun 1981.

“Selama bertahun-tahun, LEP telah menjadi salah satu pemangkin kepada anjakan pertumbuhan ekonomi dan pendidikan di Malaysia," katanya menerusi kenyataan media pada Ahad.

Tambahnya, LEP itu juga memberi penekanan terhadap pemindahan kemahiran, budaya kerja, pengetahuan, disiplin dan nilai-nilai murni masyarakat Jepun melalui penglibatan pelajar-pelajar dan pelatih-pelatih Malaysia yang menyambung pelajaran dan latihan di Jepun.

Ujar beliau, pembukaan Pusat Kajian Malaysia ini juga bertepatan dengan objektif Perkongsian Strategik dan Komprehensif Malaysia-Jepun yang diumumkan oleh kedua-dua pemimpin negara pada Disember tahun lepas.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghani menyempurnakan majlis perasmian Pusat Kajian Malaysia di Bangunan Makmal Penyelidikan, Universiti Soka di Tokyo.

Turut hadir Presiden Universiti Soka, Prof. Suzuki Masashi;Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Kadaruddin Aiyub; dan Dekan Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Hanafi Hussin.

Dalam pada itu, Prof. Masashi Suzuki berkata bahawa pusat kajian yang ditubuhkan ini bakal memainkan peranan dalam meningkatkan wacana ilmiah dalam bidang kemanusiaan dan sosial sains.

"Saya yakin bahawa pusat kajian ini akan dapat berfungsi sebagai mercu tanda kerjasama penyelidikan antarabangsa, dengan memberi tumpuan kepada cabaran-cabaran masyarakat yang didepani oleh kedua-dua negara sejak tahun 1988," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN