Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit ceria, terima kunjungan

Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit, Perlis

PADANG BESAR, 17 Februari – Setiap kali perayaan Tahun Baharu Cina, pasangan Hoo Kee Lim dan Liu Mooi Mun menjadikan kunjungan ke Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit, sebagai rutin tahunan untuk bertemu penghuni di rumah jagaan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasangan Hoo Kee Lim dan Liu Mooi Mun mengadakan lawatan tahunan ke pusat jagaan bersama keluarga memberi angpau.
  • Rumah jagaan menempatkan 18 penghuni, kebanyakannya hidup sebatang kara tanpa keluarga.
  • Lawatan membawa keceriaan semasa perayaan, memberi kegembiraan dan kelegaan emosi kepada penghuni.
  • Penghuni menerima angpau, limau dan makanan ringan; pengunjung tahun ini lebih ramai berbanding tahun lepas.

Meskipun hanya orang biasa, pasangan warga emas dari Kangar itu turut membawa keluarganya untuk melawat penghuni di sana.

“Setiap tahun kami datang bersama cucu-cucu untuk memberi angpau kepada warga emas di sini. Dahulu ramai rakan yang kami kenali masih ada, namun sebahagiannya telah meninggal dunia dan kembali ke rahmatullah. Apabila mengenangkan ibu dan ayah, hati terasa sebak dan sedih,” kata Hoo Kee Lim.

Bagi Liu Mooi Mun pula, lawatan itu memberi kelegaan kepadanya khususnya pada sambutan Tahun Baharu Cina.

“Nampak sahaja warga emas di sini, terasa seperti melihat ibu bapa sendiri. Namun, ibu bapa kami juga sudah tiada. Jadi kami bawa cucu, anak-anak dan menantu datang menziarahi mereka serta memberi angpau. Sekurang-kurangnya hati kami berasa lebih tenang dan lapang,” katanya.

Rumah jagaan itu menempatkan 18 penghuni termasuk dua wanita yang kebanyakan mereka tidak mempunyai keluarga dan hidup sebatang kara.

Seorang penghuni Cheng Teong Hin yang ditemui berkata, kunjungan itu membawa sinar keceriaan kepadanya terutama ketika meraikan perayaan bersama keluarga masing-masing.

“Saya sangat seronok menerima kunjungan ini. Tidak kira sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri atau Deepavali semua sama sahaja kerana kita rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi Lee Ming pula, dia menghargai lawatan berkenaan dan ia memberikan kegembiraan dalam menyambut Tahun Baharu Cina.

“Itu memang sesuatu yang baik, kita semua gembira bersama. Betul tak? Okay, Gong Xi Fa Cai,” katanya.

Menurut penjaga Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Kaki Bukit, Chung Heong Ming, rumah jagaan itu ceria berbanding sebelum ini.

Para penghuni menerima pelbagai pemberian termasuk angpau, limau dan makanan ringan.

“Saya sangat gembira, memang seronok kerana ini musim perayaan. Sekiranya dibandingkan dengan tahun lepas, jumlah pengunjung tahun ini jauh lebih ramai, dan penduduk di sini girang,” katanya.