KUALA LUMPUR, 11 Disember- Projek pembangunan Pusat Data bakal dibangunkan pada suku ketiga 2025 di Bagan Datuk, Perak sekali gus berpotensi menjadikan negara sebagai hab pengkalan data serantau.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan pusat tersebut akan menjadi pencetus perubahan dalam memperkukuh ekonomi digital secara global.
"Perkembangan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi Pusat Data paling pesat berkembang di rantau ini. Ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi digital, tetapi juga menjadi pemangkin kepada transisi negara ke arah penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) atau renewable energy," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Manjlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOU) antara MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad di ibu negara.
Selain itu pewujudan pusat berkenaan berpotensi mewujudkan lebih 64,000 pekerjaan bernilai tinggi.
Pusat Data itu dibangunkan oleh MARA Incorporated Sdn Bhd dan FELCRA Berhad yang akan menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden, membuka peluang dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, perdagangan elektronik, dan industri teknologi tinggi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) berjaya menurunkan peratusan pinjaman Tidak Berbayar (NPL) daripada dua digit kepada satu digit hasil dari tindakan susulan ke atas peminjam agensi tersebut.
"Apa yang dilakukan bukan sekadar tindakan undang-undang tetapi penyitaan wajib dilakukan sebab pinjaman bukan geran, bukan bantuan tetapi pinjaman yang perlu dibayar balik.
"...kerana kita perlukan modal pusingan untuk memberikan peluang kepada peminjam lain untuk maju dalam bidang masing-masing. Kita tidak pilih bulu untuk mengenakan tindakan kerana ini wang rakyat," katanya.