JOHOR BAHRU, 26 November - Johor mengambil pendekatan berwaspada dan tidak tergesa-gesa dalam membuka semula Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru, Johor.
Ia bagi memastikan kes pencemaran bacteria E-Coli di fasiliti renang itu pada Julai lalu, tidak berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihak pengurusan diberikan masa sebulan lagi untuk melengkapkan kerja naik taraf dan baik pulih.
Setakat ini, projek tersebut sudah mencapai kemajuan 90 peratus siap, dengan jangkaan pengoperasian semula secara berperingkat mulai 1Januari tahun hadapan.
"Untuk melihat dari segi fasiliti agar dibuka dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) terbaik. Kalau dilihat dari segi burung dan sebagainya, maka kita tidak akan buka secara tergesa-gesa"
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru, Johor.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon, mengesahkan ujian makmal terkini menunjukkan tiada kehadiran bakteria E-Coli dalam sampel air.
"Ada beberapa kaedah dan SOP yang kita perlu bersama dengan pihak pengurus supaya mereka mematuhi SOP yang akan ditetapkan. Pihak jurutera kesihatan negeri akan berbincang dengan pihak pengurusan dan juga pemilik pusat akuatik ini supaya mereka mematuhi SOP yang ditetapkan."
Pada 25 Julai lepas, 19 pelajar daripada 900 peserta dalam Kejohanan Akuatik MSSJ 2024, dikejarkan ke hospital selepas mengalami gejala seperti muntah , demam serta kulit gatal dipercayai akibat pencemaran air kolam renang dan kolam terjun di pusat akuatik berkenaan.