PADANG BESAR, 12 Mei - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengesahkan punca pencemaran Sungai Ngulang pada 2 Mei lalu disebabkan kebocoran kolam efluen dan kesan pelepasan efluen tidak dirawat ke longkang awam.
Siasatan turut mendapati pelepasan efluen tidak dirawat itu adalah dari sebuah premis yang beroperasi di Kawasan Perindustrian Bukit Keteri.
Pengarah JAS Perlis, Mohamad Fitri Said dalam kenyataannya memaklumkan premis terbabit telah diarahkan untuk menghentikan operasi pengeluaran serta-merta.
Proses pengeluaran hanya boleh dijalankan apabila Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) beroperasi sepenuhnya.
(Pencemaran di Sungai Ngulang)
Sampel efluen telah diambil untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia bagi tindakan lanjut diambil dibawah Akta Kualiti Alam Sekeliling dan kertas siasatan dibuka untuk tujuan pendakwaan.
Sekiranya pihak kilang didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, tindakan boleh diambil jika sabit kesalahan dan boleh didenda maksimum RM100,000 dan penjara hingga lima tahun.
Pemantauan lanjut terhadap lain-lain premis turut akan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan kepada AKAS 1974.
Tindakan tegas sentiasa diambil terhadap premis yang gagal mengikuti peraturan-peraturan yang ditetapkan.