fb fb fb fb fb

Punca gangguan air di Pulau Pangkor kerana kebocoran saluran paip utama

FOTO FAIL

IPOH, 13 Februari - Kebocoran satu daripada tiga saluran paip utama rentas dasar laut disyaki antara punca gangguan bekalan air yang berlaku di Pulau Pangkor ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, buat masa ini proses pengesanan kebocoran pada saluran paip sepanjang 3.5 kilometer dari jeti Lumut ke Pulau Pangkor itu sedang dilakukan operator dilantik Lembaga Air Perak (LAP).

Untuk makluman, terdapat kejadian kebocoran pada satu daripada saluran paip utama berukuran 600 milimiter (mm), 350mm dan 300mm dan telah dibaiki pada 5 Februari lepas.

"Namun, daripada pemantauan dan analisis selepas kerja pembaikan mendapati, tekanan masih tak kembali ke paras normal. Usaha menyalurkan bekalan tambahan ke Pulau Pangkor masih tidak menyelesaikan isu," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.

Mohammad Nizar berkata sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, LAP telah menggerakkan enam lori tangki bagi memastikan pengagihan bekalan air di pulau bebas cukai itu berjalan lancar.

"Sebanyak tiga lori tangki telah dihantar ke Pulau Pangkor pada 9 Februari lalu bagi mengedar air ke kawasan terjejas dan telah ditambah sebanyak tiga unit lagi pada 12 Februari lepas.

Sementara itu, Pengurus Besar LAP Datuk Ishak Abd Rahman berkata pihaknya akan berusaha mempercepatkan pembinaan tiga unit tangki simpanan tambahan di beberapa lokasi khusus bagi melancarkan proses penyaluran bekalan air untuk jangka masa panjang.

"Kita akan bina satu tangki di tanah besar (Lumut) manakala dua lagi iaitu di Jeti Pangkor dan Teluk Nipah. Pada awalnya, kita jangka pembinaannya akan dimulakan dalam lima tahun akan datang.

"Namun, disebabkan masalah yang berlaku kita akan percepatkan pembinaannya mungkin dalam jangka waktu terdekat bagi memastikan gangguan tidak akan berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, pengusaha resort dan hotel di Pulau Pangkor ketika ini berdepan masalah tekanan air rendah yang menjejaskan perniagaan mereka.

Masalah tersebut semakin ketara terutama pada waktu puncak seperti musim cuti sekolah atau perayaan.

Tinjauan RTM di pulau peranginan itu mendapati, pengusaha terlibat terpaksa mencatu penggunaan air di kawasan pelancongan masing-masing.

"Boleh katakan ada masa-masa yang tiada langsung di Teluk Nipah walaupun ada sebahagian daripada pengusaha itu menyediakan tangki tetapi disebabkan tekanan air yang rendah kadang-kadang guna tangki pun air tak masuk," kata Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pangkor, Mohd Zamzuri Suid.

"Kami sangat akur dengan kesusahan yang berlaku jadi ada yang sampai minta kembalikan semula wang mereka, ada juga yang minta ganti rugi tiket feri sebab mereka nak pulang awal daripada hari yang sebetulnya yang dua hari jadi satu hari sahaja, jadi perkara perkara itu membebankan kami balik," kata Pengusaha Homestay Ainul Fazrina Khairuddin.

TETITIA YUSOFF