fb fb fb fb fb

Pulau Pinang tidak terjejas oleh gempa bumi Myanmar- Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow / Foto RTM

BATU KAWAN, 29 Mac-Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan negeri itu tidak terkesan oleh insiden gempa bumi yang melanda Myanmar semalam.

Menurutnya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang melakukan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa bangunan tinggi di negeri ini susulan gempa bumi berkenaan.

Jelasnya, pihak bomba sentiasa menyalurkan maklumat terkini kepada pihaknya berhubung gegaran berkenaan.

"Sememangnya ini kelaziman dilakukan oleh mereka (JBPM) khususnya selepas kejadian.

"Maka kerja-kerja pemeriksaan ini penting. Dan setakat ini,saya rasa Pulau Pinang masih tidak terkesan oleh insiden yang berlaku semalam", katanya demikian kepada pemberita selepas Program Jualan Rahmah Madani Parlimen Batu Kawan di Simpang Ampat di sini.

Semalam, gempa bumi berukuran 7.7 magnitud telah menggegarkan Myanmar mengakibatkan kematian dan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur awam.

Gegaran tersebut turut melanda Thailand menyaksikan bangunan tinggi dalam pembinaan di Bangkok runtuh.

Gegaran itu juga turut dirasai oleh sebahagian rakyat Malaysia terutama di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD