
GEORGE TOWN, 7 Februari – Kerajaan Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh terhadap peruntukan khas berjumlah RM80 juta bagi pelaksanaan Skim Biaya Ramadan Rakyat (BARAKAT) dan Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT).
- Pulau Pinang sokong peruntukan RM80 juta untuk BARAKAT dan BERKAT sebagai bantuan kewangan kepada usahawan mikro.
- Inisiatif bertujuan meringankan kos operasi, memperkukuh aliran tunai dan meningkatkan daya saing peniaga kecil.
- Kerajaan negeri komited bekerjasama dengan Persekutuan untuk memastikan kebajikan dan kelangsungan perniagaan usahawan terpelihara.
Peruntukan berkenaan disifatkan sebagai cerminan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam membina ekosistem keusahawanan yang inklusif dan berdaya tahan, khususnya dalam membantu peniaga kecil dan usahawan mikro.
Exco Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol, berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik bagi meringankan kos operasi, memperkukuh aliran tunai serta meningkatkan daya saing peniaga kecil.
Menurutnya, bantuan berkenaan amat penting dalam mendepani peningkatan kos sara hidup selain membantu persediaan usahawan menjelang Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.
“Inisiatif ini juga diyakini akan memperkukuh usaha sedia ada kerajaan negeri dalam membangunkan kapasiti usahawan tempatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau menambah, kerajaan Pulau Pinang akan terus komited bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan perniagaan usahawan terus terpelihara.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada Jumaat mengumumkan dua program pembiayaan khas sempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
Ia merangkumi Skim Pembiayaan Ramadan Rakyat (BARAKAT) berjumlah RM50 juta bagi membantu usahawan mikro yang menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan, manakala Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) melibatkan peruntukan RM30 juta untuk golongan sasar sama dalam kalangan masyarakat Cina.