Pulau pinang salur RM2.42 juta kepada SJKT

FOTO FB Chow Kon Yeow 曹觀友

GEORGE TOWN, 8 April – Kerajaan negeri Pulau Pinang memperuntukkan RM2.42 juta kepada Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil negeri itu bagi menampung keperluan persekolahan pelajar.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM194,400 disalurkan kepada 11 tadika di SJKT sebagai pelaburan awal bagi pembangunan pendidikan generasi muda.
  • RM120,000 diperuntukkan kepada tiga Pusat Pendidikan Punjabi, manakala RM30,000 untuk Persatuan Telugu bagi infrastruktur dan literasi digital.
  • Peruntukan disediakan untuk menaik taraf kemudahan serta memperkasa pembangunan pendidikan di sekolah dan pusat komuniti.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, peruntukan tersebut selaras dengan keperluan semasa melibatkan 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri itu.

Selain itu, sebanyak RM194,400 turut disalurkan kepada 11 tadika di SJKT sebagai pelaburan awal dalam pembangunan pendidikan generasi muda.

“Sumbangan tahunan ini merangkumi SJKT, tadika di dalam SJKT serta pusat pendidikan Punjabi dan Telugu.

“Peruntukan sebanyak RM2.42 juta ini adalah bagi membantu sekolah-sekolah berkaitan menaik taraf kemudahan serta memperkasa pembangunan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada SJKT di Komtar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sekolah-Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo serta Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo.

Dalam majlis sama, peruntukan sebanyak RM120,000 disalurkan kepada tiga Pusat Pendidikan Punjabi, manakala RM30,000 lagi diberikan kepada Persatuan Telugu bagi projek pembangunan infrastruktur serta program peningkatan kapasiti pelajar termasuk literasi digital.