PERMATANG PAUH, 2 April- Kerajaan Negeri Pulau Pinang meraikan warga pendidik dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai peneraju tranformasi pendidikan negara.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata peranan dan sumbangan warga pendidik merupakan penggerak utama transformasi negeri ke satu tahap yang lebih maju.
"Jabatan pendidikan negeri memang berdedikasi dalam memastikan transformasi pendidik di negeri Pulau Pinang."
"Sesungguhnya mereka memikul tanggungjawab yang berat dan memainkan satu peranan yang penting dalam menyediakan modal insan di peringkat sekolah lagi," kata Chow kepada pemberita dalam satu majlis berbuka puasa Ketua Menteri bersama warga pendidik, pada Isnin.
Kerajaan negeri turut komited dalam memastikan pemantapan sistem pendidikan di negeri berkenaan dengan menyediakan inisiatif-inisiatif sebagaimana yang digariskan dalam Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023.
Usaha itu termasuk, penyediaan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun serta sumbangan komputer riba percuma kepada pelajar golongan B40 yang memperoleh tawaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).