fb fb fb fb fb

Pulau Pinang lancar insentif tarik pelabur firma reka bentuk cip, jurutera

Majlis pelancaran Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas, hari ini/Foto FB Pejabat Setiausaha Kerajaan

28 SEPTEMBER, BAYAN LEPAS - Kementerian Digital menyambut baik inisiatif Pulau Pinang membangunkan ekosistem reka bentuk dan teknologi Litar Bersepadu (IC) di Taman Perindustrian Bayan Lepas, kata Menteri Gobind Singh Deo.

Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini seiring dengan usaha kerajaan pusat untuk menarik pelabur seperti firma reka bentuk cip dan juga jurutera ke Malaysia.

Gobind memaklumkan beliau telah membuat permohonan dana tambahan kepada Perdana Menteri bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif tersebut.

“Kementerian saya beri sokongan yang penuh. Ini satu inisiatif yang selari dengan inisiatif kita di peringkat pusat untuk menarik perhatian pelaburan ke Malaysia.

"Permintaan telah pun dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk dana disalurkan bagi membantu inisiatif ini. Ini adalah satu perkara yang saya akan bawa kembali kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

"Perdana Menteri akan membuat keputusan dan keputusan itu akan diumumkan menjelang pembentangan bajet yang bakal kita lihat dalam dua tiga minggu yang akan datang,” katanya semasa majlis pelancaran Penang Silicon Design @5km+ di Bayan Lepas, hari ini.

Projek "Penang Silicon Design @5km+" merupakan kerjasama perintis di antara kerajaan, akademia dan industri.

Inisiatif ini terdiri daripada tiga projek utama iaitu Penang IC Design & Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Silicon Research and Incubation Space.

Ia juga bertujuan untuk memacu inovasi, merangsang pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan kedudukan global Malaysia dan Pulau Pinang dalam industri mewah.

Projek lima tahun ini menelan belanja RM120 juta, dengan RM60 juta komitmen daripada Kerajaan Negeri, manakala selebihnya melalui permohonan geran padanan daripada Kerajaan Persekutuan.

GRACE AISYAH KEDAYAN