KUALA LUMPUR, 16 Julai- Kerajaan Pulau Pinang komited melaksana pelbagai usaha dalam memastikan negeri itu kekal kompetitif dalam pembangunan sektor semikonduktor di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berusaha menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu hab global dalam bidang industri berteknologi tinggi.
Jelasnya, usaha tersebut akan membawa ke arah satu ekosistem matang dan rakyat bakal menikmati faedah daripada segi peluang pekerjaan dan perniagaan.
Selain itu, langkah memberi kenaikan gaji kepada graduan universiti turut dilaksana dalam usaha memastikan modal insan berkualiti dapat berkhidmat dalam sektor semikonduktor di negeri itu.
"Malaysia khususnya Pulau Pinang sudah ada landasan kukuh untuk menarik pelaburan itu.
"Pelaburan maksudnya peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan juga membawa limpahan kepada sektor hartanah, perniagaan dan institusi latihan dan sebagainya.. sebab semua ada kaitan dengan pembangunan industri," katanya selepas menjadi tetamu dalam program rancangan terbitan RTM di sini.
Tambahnya, selain terus mengembangkan aktiviti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor sedia ada, pihaknya konsisten membangunkan rantaian bekalan bagi peralatan pembuatan bahagian hadapan dan menggalakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan serta rekabentuk.