fb fb fb fb fb

Pulau Pinang sedia laksana pelan pemulihan anak-anak GISBH

Dr. Mohamad Abdul Hamid

SEBERANG JAYA, 14 Oktober- Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersiap sedia dengan pelan pemulihan bagi anak-anak kepada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejurus selepas Jawatankuasa Fatwa Negeri menentukan status kumpulan itu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri akan bersidang selama dua hari bermula esok bagi menentukan status kepercayaan dan ajaran GISBH.

Menurutnya antara langkah yang akan dilaksanakan kerajaan negeri termasuk bimbingan psikologi kepada mereka di Kompleks Hidayah di Penaga sebagai usaha memulihkan semangat.

"Kita akan menunggu keputusan Jawatankuasa Fatwa yang bersidang pada esok -- 15 dan 16 Oktober. Kami telah bersiap sedia untuk melaksanakan kursus ini sejurus selepas keputusan diumumkan, yang melibatkan ahli dan anak-anak GISBH," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini seramai 200 kanak-kanak dan remaja dipercayai anak kepada ahli GISBH telah diselamatkan dari empat negeri -- Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan -- dan ditempatkan di Kompleks Penyayang Sinar Kasih di Nibong Tebal.

Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk menjadikan Kompleks Hidayah sebagai pusat pemulihan akidah bagi kumpulan tersebut dengan sebuah pasukan khas ditubuhkan untuk menyelia dan menjaga mereka.

SITI AISHAH MD ISA