KUALA LUMPUR, 14 Jun - Baucar Perlindungan Tenang (PTV) tidak akan diteruskan tahun ini dan semakan semula akan dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bagaimanapun usaha membantu golongan B40 masih diteruskan menerusi pelbagai inisiatif perlindungan sosial lain seperti Program MySalam dan Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40).

"Bukan kita meninggalkan terus PTV ini, bila kita kata BNM membuat kajian, daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima baucar ini, yang diuruskan 4.9 juta orang dan claimnya baru 0.01 peratus baru 490 orang yang mendapat faedah daripada 354 juta insurans, terlalu sedikit yang dilindungi dengan PTV itu. Oleh itu kita meneruskan MySalam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Dewan Rakyat.
Tambah Ahmad, sehingga Disember tahun lalu, seramai 4.9 juta penerima dengan nilai RM354 juta telah menerima manfaat menerusi Baucar Perlindungan Tenang (PTV).
PTV dilaksanakan pada tahun 2021 dan 2022 ketika COVID-19 melanda dunia bertujuan menyediakan perlindungan insurans dan takaful kepada pemegang polisi dan keluarga B40.