KUALA LUMPUR, 18 Februari-Program Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) dijangka dapat mengoptimumkan perbelanjaan tahunan bagi pembelian imej satelit sehingga RM20 juta.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata inisiatif itu juga bakal membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menceburi bidang berkaitan pembuatan, pelancaran, serta perkhidmatan satelit.
Tambahnya, langkah ini sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap syarikat luar.
"PSPJN membantu negara membangunkan keupayaan untuk menghasilkan satelit penderiaan jauh (remote sensing satellites) sendiri.
"Ketika ini, negara membelanjakan sekitar RM20 juta setahun untuk membeli imej satelit kerana kita masih belum mempunyai keupayaan menghasilkan satelit penderiaan jauh sendiri.
"Oleh itu, kita terpaksa mendapatkan perkhidmatan daripada syarikat luar negara," katanya.
Ketika ini, kerajaan sedang dalam fasa rundingan bersama syarikat yang terlibat bagi memastikan semua keperluan projek dapat dipenuhi.
Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim, di Dewan Rakyat.