fb fb fb fb fb

PSDC Academy dijenamakan semula kepada FutureTech Academy

Chow Kon Yeow

BAYAN LEPAS, 20 September - Seiring dengan kemajuan dan keperluan teknologi teknologi masa depan, Penang Skill Development Centre (PSDC),  telah menjenamakan PSDC Academy kepada FutureTech Academy.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penjenamaan itu bertujuan menyokong strategi industri negara dengan menawarkan kursus-kursus dalam bidang berteknologi tinggi selain mengukuhkan reputasi negeri itu sebagai Lembah Silikon Timur.

"Ini merupakan satu peralihan yang sangat baik bagi menyokong strategi industri negara serta Strategi Nasional Semikonduktor (NSS) yang menyasarkan latihan 60,000 jurutera dalam bidang elektronik dan elektrik (E&E), semikonduktor dan teknologi tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan FutureTech Academy di sini.

Penjenamaan akademi itu diharapkan dapat membantu negara menyediakan keperluan modal insan dalam bidang kejuruteraan.

Sepanjang 34 tahun yang lalu, PSDC telah melatih 257,553 peserta melalui lebih daripada 13,000 program. 

FutureTech Academy kini akan membawa legasi itu ke tahap seterusnya sekali gus meneruskan pencapaian dan komitmen PSDC yang berterusan terhadap pembangunan bakat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI