fb fb fb fb fb

MAIDAM larang tampal poster politik di pagar masjid, surau

(Yang Dipertua MAIDAM Terengganu , Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail)

KUALA TERENGGANU, 17 Julai- Pihak pengurusan masjid dan surau di Terengganu diingatkan supaya tidak memasang poster, jadual ceramah politik atau mengadakan sebaran aktiviti kempen di masjid atau surau di negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 Julai lalu.

Ia bagi memastikan masjid dan surau bebas daripada dijadikan tempat kegiatan politik kepartian.

"Di samping itu Tuanku sebut secara terperinci kepada orang yang diberi tauliah mengajar di masjid supaya tidak selit atau menyentuh apa-apa berkaitan politik semasa pengajaran.

"Terdapat 510 masjid dan lebih 2,000 surau di seluruh Terengganu. Jadi semua pihak diminta patuhi arahan ditetapkan bagi menjaga keharmonian dan kemuliaan masjid serta menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan Lembu oleh McDonald's Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.


(Datuk Shaikh Harun (tengah) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan
LembuĀ dari McDonald'sĀ 
Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu
di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu)

Menurutnya lagi,sekiranya ada yang didapati melanggar peraturan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dari tiga tahun.

Pada 13 Julai lalu, Terengganu menguatkuasakan larangan terhadap sebarang aktiviti melibatkan kempen pilihan raya atau program berunsur politik di mana-mana masjid atau surau di negeri itu menjelang PRN tidak lama lagi.

MAIDAM juag telah mengeluarkan pekeliling untuk melarang semua ahli politik termasuk golongan aktivis menjadi khatib dan imam solat Jumaat sepanjang tempoh berkempen di semua masjid dan surau di Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memaklumkan, 29 Julai ini merupakan hari penamaan calon manakala hari pengundian awal adalah pada 8 Ogos depan.

Media Baharu