fb fb fb fb fb

PRU DUN ke-15: Hampir 1,000 anggota, pegawai polis Melaka digerakkan

(Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah)

AYER KEROH, 17 Julai- Polis Melaka akan menggerakkan 30 peratus iaitu kira-kira 1,000 anggota dan pegawai untuk membantu kelancaran proses Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15) di negeri-negeri yang terlibat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, peratusan itu mewakili hampir 900 warganya terutama bertugas di negeri berhampiran atau sempadan Melaka sepanjang pilihan raya itu berlangsung.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan penghantaran anggotanya tidak akan mengganggu keperluan di Melaka termasuk sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

"Jadi kita diminta untuk menyalurkan bantuan sebanyak 30 peratus daripada kekuatan polis di kontinjen Melaka yang ini kita akan salurkan ke negeri-negeri berhampiran Melaka seperti Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka baharu daripada pemangku Timbalan Ketua Polis (TKP) Melaka Asisten Komisioner Mohamed Mahat kepada Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi di IPK Melaka, Bukit Beruang.


(Datuk Zainol (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Melaka
kepada Senior Asisten Komisioner Md Nazri Zawawi (kanan) di IPK Melaka, Bukit Beruang)

Dalam perkembangan lain, Datuk Zainol memaklumkan jenayah indeks di Melaka menurun sebanyak 7.5 peratus kepada 749 kes dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini berbanding 810 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya jenayah kekerasan merekodkan sebanyak 164 kes, kekal seperti tempoh sama tahun lalu.

Sementara jenayah harta benda pula merekodkan penurunan sebanyak 61kes kepada 585 kes dalam tempoh sama tahun ini berbanding 646 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

"Walaupun terdapat penurunan kes jenayah indeks di Melaka secara keseluruhan, berlaku peningkatan melibatkan jenayah bunuh iaitu enam kes kepada 10 kes pada tahun ini.

"Jenayah rogol juga meningkat kepada 35 kes pada tahun ini berbanding 30 kes pada tahun lepas selain peningkatan kes melibatkan samun berkawan tanpa senjata api kepada 45 kes tahun ini berbanding 24 kes pada tahun lepas," katanya.

Beliau berkata, rondaan menerusi Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan dipertingkat terutama di kawasan yang menjadi tumpuan jenayah berkenaan sebagai langkah pencegahan dan meningkatkan rasa takut dalam kalangan orang awam untuk melakukan jenayah.



Media Baharu