fb fb fb fb fb

Proses pemilihan jaga kanak-kanak lebih ketat, lalui saringan - Nancy

KOTA KINABALU, 11 Mac - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited melindungi dan memperkasa golongan kanak-kanak dengan memperketat pemilihan Perkhidmatan Pemeliharaan Dan Perlindungan Kanak-Kanak, kata Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Nancy berkata, keperluan itu bagi menilai pihak yang benar-benar berkelayakan menjadi penjaga kepada kanak-kanak berkenaan.

Sehubungan itu, satu buku garis panduan baharu akan diperkenal untuk dijadikan rujukan bagi memastikan pihak berkenaan benar-benar layak dan sesuai.

"Garis panduan ini diwujudkan untuk memastikan kesesuaian penempatan kanak-kanak di bawah ibu bapa peliharaan atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS).

"Melalui penaksiran itu, kesesuaian ibu bapa peliharaan dalam aspek penjagaan, pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak dapat diteliti dengan lebih terperinci," katanya ketika berucap pada sesi Town Hall bersama Pelindung dan pelancaran buku baharu di sini pada Sabtu.

(Majlis Perasmian Town Hall Bersama Pelindung Dan Pelancaran Garis Panduan Perkhidmatan Pemeliharaan Dan Perlindungan Kanak-Kanak di Kota Kinabalu/FOTO FB KPWKM)

Tambahnya, dibawah garis panduan itu juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memperkenal sistem saringan penggunaan Penaksiran Psikologi Personaliti (TAJMA).

Katanya ia sebagai suatu alat ukur psikologi yang direka bentuk untuk memberikan data saintifik tentang diri seseorang individu mengenai pemikiran, perasaan dan tingkah laku.

"Ujian ini akan melihat kepada 12 ciri-ciri personaliti yang bersesuaian dengan ibu bapa peliharaan atau OYLS," katanya.

Tambahnya, Jawatankuasa Panel Penempatan Kanak-Kanak kepada OYLS Peringkat Negeri juga telah diwujudkan, dipengerusikan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri untuk memastikan kesesuaian penempatan kanak-kanak dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Media Baharu