SUNGAI PETANI, 6 Disember - Kerja-kerja pemadaman tiga premis di kilang yang terbabit dalam kebakaran di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah pada Ahad lalu masih berbaki 20 peratus setakat pukul 7.00 pagi tadi.
Menurut Ketua Zon 2 Pegawai Kanan Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah Mohd Naim Mat Jaafar keadaan terkawal setakat ini setelah pasukan Khas BahanKimia Berbahaya (Hazmat) melakukan pemeriksaan pengesanan gas yang ada di lokasi kejadian.
Menurutnya pasukan bomba menggunakan tiga aliran dan pancutan air bagi memadamkan kebakaran mengikut tiga pembahagian sektor .
Terdahulu terdapat tiga gudang penyimpanan barangan terpakai (e-waste) terdiri daripada logam tembaga, wayar dan bateri yang terlibat dalam kebakaran itu.
Kebakaran itu menyebabkan berlaku letupan dan percikan 'bunga api', sebelum pihak bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 10.02 malam.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar JAS Kedah semalam , tiga premis terbabit dipercayai beroperasi secara haram .
Dua premis terlibat disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam dan sekerap logam yang telah diasingkan disyaki dihantar ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan.