fb fb fb fb fb

Proses pelantikan hakim-hakim kanan perlu telus

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 - Foto Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR, 17 Julai - Proses pelantikan hakim-hakim kanan perlu mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menekankan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dipengerusikan baginda semalam.

1707 NSL SULTAN SELANGOR PELANTIKAN HAKIM 5Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 - Foto Istana Negara

Baginda bertitah, antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan dengan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.

"Dalam hal ini, Beta menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.

1707 NSL SULTAN SELANGOR PELANTIKAN HAKIM 3Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 - Foto Istana Negara

"Proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara," titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak supaya mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi serta tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan kesyukuran kerana mesyuarat berkenaan telah berlangsung dengan baik dan lancar.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK