fb fb fb fb fb

Proses mitigasi tanah runtuh Puchong ambil masa dua minggu

Kesan retakan akibat kejadian tanah runtuh di Puchong, malam tadi

PUCHONG, 17 Disember- Proses mitigasi untuk mengehadkan pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh di Taman Wawasan di sini sedang giat dilakukan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, proses tersebut memerlukan sebanyak 375 batang cerucuk dan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk diselesaikan.

"Proses mitigasi yang telah dilaporkan oleh pihak MPSJ dan pihak pejabat daerah (adalah) menggunakan kaedah still piling iaitu cerucuk keluli besi. Kerja-kerja (still piling) sudah bermula sejak pukul 4.00 pagi tadi.

"Kontraktor maklumkan (still piling) dalam kawasan 150 meter yang mungkin memerlukan 375 cerucuk besi untuk mengehadkan pergerakan tanah dan sebagainya," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sumber bekalan air juga sudah ditutup oleh Jabatan Air Selangor bagi mengelak sebarang pergerakan tanah yang dikhuatiri akan menganggu mitigasi kerana paip di bawah tanah telah pecah.

Setakat ini, kesemua sembilan rumah yang terlibat sudah dikosongkan dengan lapan orang daripada sebuah keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna MBSJ, manakala 21 orang lagi menumpang di kediaman saudara dan rakan terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN
Tanah runtuh: Penghuni 9 rumah di Puchong diarah berpindah
KKR sedia bantu PBT insiden tanah runtuh di Puchong

SITI AISHAH BINTI MD ISA