PUTRAJAYA, 9 Julai -Mahkamah Persekutuan hari ini diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mempertikaikan kewujudan dokumen tambahan (Titah Adendum) Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang didakwa membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Namun, menurut Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang bertindak bagi pihak Peguam Negara, isu utama yang dipertikai adalah berhubung prosedur pengemukaan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.
“Responden (Datuk Seri Najib) perlu mematuhi peraturan berhubung pengemukaan bukti baharu,” katanya semasa prosiding rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan semakan kehakiman oleh Najib.
Bukti baharu yang dipersoalkan melibatkan afidavit anak Datuk Seri Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar, yang mengandungi salinan titah adendum diterima dari Istana Pahang.
Bagaimanapun, penggunaan dokumen tersebut dilarang tanpa perkenan Sultan Pahang.
Peguam Datuk Seri Najib, Tan Sri Shafee Abdullah pula berhujah bahawa ketidakpastian tentang kesahihan titah itulah yang menyebabkan ia masih belum dilaksanakan, justeru satu semakan kehakiman adalah perlu.
Kes didengar di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.
Keputusan rayuan akan dimaklumkan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.