
KUCHING, 17 Mac – Hanya 35 daripada 855 projek pembinaan di seluruh negara dilaporkan bermasalah, iaitu sekitar 4.1 peratus sahaja.
- Sebahagian besar kes projek sakit berpunca daripada masalah kontraktor.
- 75 peratus projek sakit disebabkan masalah pengurusan projek dan pengurusan kewangan.
- Isu pengurusan projek termasuk pekerja, bahan binaan dan jadual kerja.
- Lesen kontraktor G1 dibuka; keutamaan kepada yang berkemahiran termasuk graduan ABM.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata kes projek sakit ini adalah terpencil dan sebahagian besarnya berpunca daripada masalah kontraktor.
“75 peratus projek itu sakit kerana masalah berkaitan dua isu utama iaitu pengurusan projek termasuk pekerja, bahan binaan dan jadual kerja, serta pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau demikian kepada media pada program perjumpaan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad turut mengesyorkan agar Akademi Binaan Malaysia (ABM) memperkenalkan kursus tambahan dalam bidang pengurusan projek dan kewangan selain kemahiran teknikal.
Ia bertujuan memastikan pelatih ABM bukan sahaja mahir dalam kemahiran teknikal tetapi juga bersedia menjadi kontraktor yang efisien dan bertanggungjawab.
Datuk Seri Dr Ahmad turut menekankan bahawa lesen kontraktor G1 yang dahulunya Kelas F masih dibuka dan keutamaan diberikan kepada mereka yang mempunyai kemahiran pembinaan, termasuk graduan ABM.
Dengan kemahiran betul, kontraktor baharu diharap tidak menimbulkan masalah dalam mana-mana projek yang diperolehi.