JOHOR BAHRU, 29 November - Kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura kini berada pada tahap 93 peratus.
Perkembangan infrastruktur rel tersebut melibatkan pembinaan Depoh Penyelenggaraan Projek RTS Link, Stesen Bukit Chagar, jejambat darat dan laut.
Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan berkata, kerja-kerja pemasangan rel, turut mencapai kemajuan lebih awal berbanding jadual asal.
Projek landasan trek itu akan diserahkan Pengendali Sistem Transit Rel (RSTO) untuk meneruskan baki kerja-kerja pemasangan, mulai hujung tahun.
"Perkembangan positif ini membolehkan projek RTS Link memberi fokus kepada kerja-kerja teknikal dan sivil, bermula awal tahun hadapan, " menurut kenyataan itu.
Di Singapura pula, empat per lima kemajuan projek telah siap iaitu mewakili 80 peratus, setakat kini.
Projek RTS Link merupakan rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.
Ia mampu membawa hingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dengan tempoh lima minit antara kedua-dua stesen.