Projek RTB siap, penduduk Taman Sejahtera nikmati perlindungan banjir baharu

Tinjauan tapak projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Taman Sejahtera, Machang Bubok/Foto RTM

BUKIT MERTAJAM, 3 Februari – Masalah banjir kilat yang membelenggu kira-kira 500 penduduk di Taman Sejahtera, Machang Bubok, sejak 13 tahun lalu dijangka berakhir selepas siapnya projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM2.7 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek RTB Taman Sejahtera siap pada 25 September selepas lima lanjutan tempoh akibat isu teknikal dan pengalihan utiliti.
  • Kerja kejuruteraan komprehensif menaik taraf sistem perparitan, bina dan naik taraf kolam takungan serta penurapan semula jalan.
  • Sistem saliran kini direka untuk menampung hujan dengan keamatan purata 65 milimeter sejam.
  • Risiko banjir berkurang, memberi impak positif kepada kira-kira 100 unit rumah dan kesejahteraan penduduk.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kawasan itu antara lokasi panas banjir dengan kekerapan sehingga sembilan kali setahun, selain paras air boleh mencecah 300 milimeter setiap kali hujan lebat.

“Projek ini diluluskan pada 10 Mei 2022 dan dibiayai sepenuhnya melalui Wang Caruman Saliran Kerajaan Negeri.

“Walaupun mengalami lima lanjutan tempoh akibat isu teknikal dan pengalihan utiliti, projek yang bermula April 2023 ini siap sepenuhnya pada 25 September lalu,” kata beliau selepas meninjau tapak projek RTB Taman Sejahtera di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Menurut Zairil, skop utama projek melibatkan kerja kejuruteraan komprehensif bagi memastikan sistem saliran mampu menampung kadar hujan tinggi dengan keamatan purata 65 milimeter sejam, termasuk penaiktarafan sistem perparitan, pembinaan kolam takungan baharu, menaik taraf kolam sedia ada, penurapan semula jalan serta pengalihan utiliti.

Sementara itu, Lee berkata projek tersebut memberi impak besar kepada kesejahteraan penduduk melibatkan 100 unit rumah yang sebelum ini sering berdepan banjir.

“Taman Sejahtera adalah kawasan perumahan berusia lebih 30 tahun dan sistem perparitan lama tidak lagi mencukupi, namun selepas projek ini, risiko banjir berjaya dikurangkan,” katanya.