fb fb fb fb fb

Projek rintis pusat pengumpulan duku bakal diwujudkan di Hulu Terengganu

Pengusaha duku di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 19 Disember- Sebuah pusat pengumpulan hasil pertanian dirancang untuk diwujudkan di Kampung Tanjung Putat, sini, Terengganu.

Ia dipilih sebagai projek perintis kerana daerah itu pengeluar utama hasil pertanian dan buah-buahan bermusim termasuk duku iaitu lebih 1,872 tan matrik dihasilkan setiap musim.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Nukman Hashim berkata, negeri itu tidak mempunyai pusat pengumpulan dan jualan borong sistematik yang khusus untuk mengumpul hasil pertanian.

Ketika ini, pengumpul buah termasuk duku menjadikan rumah masing-masing sebagai tempat pengumpulan sementara.

Sehubungan itu, beliau berhasrat pusat pengumpulan hasil pertanian tersebut akan dibina tahun depan.

"Jika kita ada satu pusat pengumpulan, saya yakin ia akan lebih memudahkan dan kita boleh pasarkan hasil-hasil pengeluaran penduduk tempatan dengan lebih cepat serta luas," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Ia dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih 400 petani tempatan di seluruh daerah tersebut.

"Alhamdulillah, jika FAMA mengadakan pusat pengumpulan di kawasan sini, maknanya membantu menambah ekonomi orang kampung," kata Abdullah Ahmad, pengumpul duku.

"Bagi saya amat baik dan perlu disegerakan perancangan untuk wujudkan satu pusat pengumpulan dan pemasaran hasil-hasil pertanian, bukan sekadar duku tetapi di Hulu Terengganu ini terkenal juga dengan kacang dan jagung," kata Mohd Ideris Deraman, usahawan duku.

Keluasan tanaman duku di seluruh negeri itu mencecah 831.4 hektar dengan anggaran pengeluaran lebih 3,000 tan matrik.

SITI AISHAH BINTI MD ISA