
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) di daerah Matu, Sarawak yang bermula sejak tahun 2020 dengan kos pembangunan sebanyak RM9 juta kini mencapai kemajuan 52 peratus, dengan perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta daripada RM6.9 juta yang diperuntukkan setakat ini.
- Projek PROSPEK Matu capai kemajuan 52 peratus sejak 2020 dengan peruntukan dan perbelanjaan berjalan.
- Pelaksanaan oleh LKTS merangkumi komponen ekonomi, perumahan dan prasarana di enam kampung.
- Pemulihan termasuk naik taraf rumah salai, pembinaan kilang pemprosesan sagu dan minyak sekiu.
- Bantuan bermula Mac untuk 169 peserta fokus tingkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, projek yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS) itu melibatkan komponen ekonomi, perumahan dan prasarana di enam buah kampung.
“Projek-projek ataupun program-program yang disebut masih lagi dalam penilaian dan juga pelaksanaan oleh pihak LKTS dan apa yang kita hendak pastikan program ini memberi peluang peningkatan pendapatan kepada peserta-peserta.
“Dalam masa yang sama juga dapat memberi peluang-peluang pekerjaan khasnya kepada penduduk-penduduk di kawasan luar bandar”, katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, antara pelaksanaan utama projek berkenaan, termasuk menaik taraf rumah salai, pembinaan rumah pemprosesan sagu dan minyak sekiu serta bantuan pembangunan usaha.
Bantuan dijangka memberi manfaat kepada 169 peserta bermula Mac depan, dengan fokus meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan luar bandar.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berhubung pemantauan kerajaan bagi memastikan belia yang tamat latihan benar-benar mendapat pekerjaan atau mampu menjana pendapatan sendiri.