KUALA LUMPUR, 19 Februari – Kerajaan memperuntukkan lebih RM400 juta bagi pelaksanaan Projek Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun ini, termasuk peningkatan kadar peruntukan bagi pembinaan rumah baharu di bawah program tersebut.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata kadar peruntukan itu telah dinaikkan bagi memastikan kemudahan perumahan rakyat miskin dapat dipertingkatkan.
Di Semenanjung kadar tersebut dinaikkan daripada RM66,000 kepada RM79,000 manakala di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kadar dinaikkan daripada RM79,000 kepada RM85,000.
Selain itu, kos baik pulih rumah turut diselaraskan kepada RM20,000 di seluruh negara, berbanding kadar sebelum ini iaitu di Semenanjung RM15,000 manakala RM17,000 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurut Rubiah, kementeriannya menerima permohonan tinggi untuk PPRS daripada setiap negeri, namun pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan yang diperoleh serta kuota yang ditetapkan kerajaan.
"Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mempunyai perancangan untuk memohon lebih banyak peruntukan kerana permintaan masih tinggi di setiap negeri.
“Buat masa ini, pelaksanaan PPRS adalah berdasarkan kuota rakyat termiskin di negeri masing-masing,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor, di Dewan Rakyat, di sini.
Dalam pada itu, Rubiah turut memaklumkan kerajaan bercadang menggunakan beberapa sistem terkini bagi menguruskan senarai menunggu permohonan PPRS.
Namun, beliau menjelaskan cadangan tersebut masih di peringkat kajian.