fb fb fb fb fb

Projek Poliklinik ATM di Kem Mahkota yang terbengkalai dijangka siap 2025

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KLUANG, 10 Mei- Projek pembangunan Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Mahkota, Kluang, Johor yang terbengkalai sebelum ini, dijangka siap pada tahun 2025.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kontraktor baharu telah dilantik untuk meneruskan projek menaik taraf poliklinik berkenaan.

"Poliklinik ini sepatutnya siap pada tahun lepas, tetapi kontraktor berhadapan dengan masalah dan kita telahpun tamatkan pada tahun lepas.

"Kita telah melantik kontraktor baharu melalui tender yang telah dibuka dan kita baru sahaja melantik kontraktor baru dan kita harap ianya dapat disiapkan mengikut jadual pada bulan Disember 2025", katanya semasa sesi Lawatan Kerja ke Kem Mahkota Kluang, Johor.

Projek bernilai kira-kira RM23 juta itu bakal memberi manfaat kepada 10,000 anggota dan keluarga, selain penduduk di sekitar kem tersebut.

Antara fasiliti lain disediakan termasuk 25 buah katil, pusat hemodialisis, dewan pembedahan dan lain-lain.

Dalam pada itu, sebanyak RM11 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem berkenaan supaya dapat didiami dalam keadaaan lebih selesa.

Sementara itu, kelewatan penghantaran pertama Helikopter Black Hawk Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sepatutnya April lalu, akan diuruskan berdasarkan syarat ditetapkan dalam kontrak.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya akan membuat keputusan untuk membatal atau membuka tender baharu, selepas penilaian kontrak dibuat pihak kementeriannya nanti.

"Dalam soal soal procurement (perolehan) seperti ini, ia akan ada kelewatan dan soal kita mengurus kelewatan itu seperti yang terdapat dalam syarat syarat kontrak.

"Itu sebabnya dalam kontrak kita mengambil kira bahawa perkara seperti ini memang akan terjadi, jadi bila ia betul-betul berlaku, maka kita rujuk kepada kontrak.

"Tapi akan ada satu masa kita akan menganggap bahawa memang betul-betul tak boleh nak dilaksana. Maka dengan demikian pada ketika itu kita perlu buat keputusan sama ada batal, buka tender semula dan sebagainya. Jadi semuanya dalam keadaan diuruskan sebagaimana yang disyaratkan dalam kontrak", katanya.

Sebelum ini, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyatakan, penghantaran peringkat pertama melibatkan sebuah daripada empat helikopter jenis Sirkosky UH-60A+ Black Hawk yang disewakan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat.

Helikopter berkenaan sepatutnya diterima TDM pada November, tahun lalu sebelum ditunda ke April disebabkan kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar.

ROSLINA BINTI DIN