KUALA LUMPUR, 13 Mac - Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan bagi membiayai infrastruktur sokongan projek Perlis Inland Port (PIP)
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata ia melibatkan tiga komponen merangkumi laluan khas, jejambat dan laluan keretapi yang dijangka siap pada suku keempat tahun hadapan.
"Sehingga 31 Januari 2023, pembinaan komponen laluan khas telah mencatatkan kemajuan sebanyak 40.25% manakala komponen jejambat dan laluan keretapi masih di peringkat kerja awalan dengan kemajuan fizikal sebanyak 1.41%.
"Pembinaan infrastruktur luaran bagi projek PIP ini dijangka akan siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2024 selari dengan penyiapan komponen projek PIP yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Perlis," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Perlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim di Dewan Rakyat.
Projek PIP bernilai RM340 juta dibangunkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bertujuan mempercepat pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan negara.