KOTA BHARU, 11 Februari - Projek penggantian dan pemasangan meter System Input Volume (SIV) di Kelantan dijangka dapat memanfaatkan 175,000 pengguna di seluruh negeri itu apabila siap sepenuhnya pada awal 2023.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek bawah Program Air Tanpa Hasil (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Kelantan itu melibatkan dua pakej yang merupakan sambungan Rancangan Malaysia Ke-11.
Ia melibatkan peruntukan RM69.1 juta dan mula dilaksanakan pada Februari 2020.
Projek itu bertujuan menaik taraf fasiliti asas pengukuran kadar NRW yang lebih tepat iaitu terdiri daripada empat skop kerja termasuk penukaran meter pengguna, pembangunan Sistem Maklumat Muka Bumi (GIS) dan membaiki/menukar tangki-tangki lama yang telah bocor/rosak.
Ketika ini kerja pembinaan giat dilaksana bawah Pakej 2 melibatkan 53 penggantian/pembaikan tangki di sekitar Jajahan Kota Bharu, Tumpat, Machang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang.
Kadar kemajuan projek telah mencapai 37 peratus.
“Tangki-tangki ini dijangka boleh mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan tahun 2022 dan siap sepenuhnya pada Januari 2023.
"Setelah projek siap sepenuhnya kelak, peningkatan kapasiti storan mampu mencapai 31.2 juta liter air, manakala penukaran 56,000 meter air akan memberikan bacaan yang lebih tepat terhadap penggunaan air dan akan memberi manfaat kepada 175,000 pengguna," Tuan Ibrahim menyatakan demikian kepada pemberita selepas meninjau projek berkenaan di tangki air Pasir Tumboh, di sini.
Katanya, projek itu mendapat geran daripada kerajaan pusat dalam usaha mengurangkan kadar NRW di Kelantan yang ketika ini sebanyak 52 peratus.
Sasaran kementeriannya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 nanti, NRW di seluruh negara mencapai 35 peratus termasuk kadar tertinggi dicatatkan di Perlis dan Pahang.