fb fb fb fb fb

Projek pembinaan jalan raya Nanga Kabah-Sungai Song dimulakan

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

SONG, 3 Mei- Projek jalan raya Nanga Kabah-SK Beguang-Sungai Song di sini memulakan pembinaannya hari ini.

Majlis pecah tanah projek bernilai RM145 juta itu disempurnakan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Kapit berkata, fasa projek pembinaan jalan raya berkenaan melibatkan tiga fasa dan ianya akan berakhir di seberang bandar Kapit.

"Skop pembinaan projek fasa pertama ini adalah merangkumi pembinaan jalan batu sepanjang 16.375kilometer dengan profil geometri jalan JKR-R3 dan lebar jalan spesifikasi JKR-R1.

"Fasa pertama ini melibatkan pembinaan tiga buah jambatan kecil iaitu di Sungai Kabah (72 meter), Sungai Beguang (62 meter) dan Sungai Temiang (62 meter)," katanya.

Pembinaan jalan raya itu dilihat akan memudahkan penduduk di kawasan berkenaan.

"Apabila jalan raya Sibu-Kapit sudah siap kira-kira empat tahun lepas, banyak bot laju dan bot ekspres yang digunakan orang awam menghentikan operasi.

"Pemberhentian bot ekspres itu menyukarkan penduduk kerana mereka tidak mempunyai kenderaan air," katanya selepas majlis pecah tanah projek tersebut yang diadakan di Log Pond Beguang di sini.

Projek yang diluluskan bawah Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Perlaksanaan projek itu memberi manfaat kepada lebih 1,500 orang penduduk sekali gus meningkatkan sosioekonomi di kawasan itu khususnya memberikan kemudahan kepada dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ngemah dan SK Beguang seterusnya ke Pekan Kanowit dan Sibu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI