fb fb fb fb fb

Projek pembangunan di jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang akan dibincangkan - Anwar

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 3 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Kelantan berhubung beberapa projek pembangunan sementara di Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang.

Menurut Anwar, ia bagi memberi peluang kepada rakyat Kelantan yang berada di sekitar kawasan tersebut untuk menjana pendapatan.

"Saya juga telah berbincang dengan Menteri Besar Kelantan supaya bila sementara jambatan ini siap, kita terus adakan beberapa projek pembangunan daripada sudut peluang-peluang perniagaan, gerai dan warung yang lebih baik, tempat perniagaan di kawasan berdekatan dengan jambatan.

"Langkah tersebut diambil supaya ia tidak hanya jambatan, tetapi ada rangkaian perniagaan perdagangan di sebelah Kelantan," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Lawatan Kerja ke Rantau Panjang dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand. 

Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan kewangan mencukupi akan segera disediakan bagi mengatasi masalah banjir di Rantau Panjang.

Perdana Menteri berkata dana digunakan untuk kerja menggali dan membersihkan Sungai Golok serta penyelesaian bencana di kawasan berkenaan.

"Daripada segi dasar, kedua-dua Perdana Menteri (Thailand dan Malaysia) telah bersetuju untuk menyegerakan, jadi kalau sebaik diselesaikan peringkat teknikal kita akan sediakan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk terus gali dan membersihkan sungai supaya tiada timbunan yang menyekat pengaliran air ke laut serta menyebabkan banjir.

"Ini bagi saya masalah yang amat besar di Rantau Panjang sebab itu kita bagi keutamaan," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM