KOTA TINGGI, 6 September - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), melalui Siri Jelajah Sentuhan Kasih KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM267.76 juta untuk pelaksanaan 40 projek pembangunan dan naik taraf serta penyelenggaraan 32 Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Johor.
Projek pembangunan tersebut melibatkan naik taraf lapan Program Perumahan Rakyat (PPR), pembinaan dua projek PPR baharu, lima projek Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) serta tiga program pembangunan lain.
Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata usaha itu merupakan komitmen kementeriannya dalam memastikan infrastruktur awam terus dipertingkatkan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.
"Sebanyak 2,520 unit rumah PPR dengan lebih 10,000 penduduk terlibat. Semalam (Khamis), kita meluluskan RM10 juta untuk menukar semua 22 lif baharu yang telah siap dipasang.
"Selain itu, kerja-kerja mengecat semula bangunan dan membaiki paip-paip bocor juga telah berjaya diselesaikan. Ini antara program yang menjadi keutamaan kami," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Felda Sungai Mas, di sini.
Sejak 2002 hingga 31 Julai lalu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah membangunkan 7,909 unit RMR di Johor, termasuk 324 unit di Parlimen Kota Tinggi dan 235 unit di Parlimen Pengerang.