fb fb fb fb fb

Projek Bandar Maritim di K.Kedah perlu jaga kepentingan nelayan tempatan

Mesyuarat Bersama Delegasi dari China mengenai cadangan melaksanakan projek pembangunan Bandar Perikanan dan pembangunan bercampur di Alor Setar

ALOR SETAR, 2 Jun- Syarikat dari China yang akan melaksanakan Projek Pembangunan Bandar Maritim (Perikanan) di Kuala Kedah diminta meneliti semula cadangan pelaksanaan projek berkenaan.

Ia bagi memastikan pembangunan projek berkenaan turut melibatkan nelayan tempatan disamping memelihara ekosistem sedia ada di Kuala Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sains Negeri Kedah, Doktor Haim Hilman Abdullah berkata Kerajaan Negeri Kedah sentiasa mengamalkan sikap mesra perniagaan dan sosio ekonomi seimbang demi memastikan pembangunan lestari dapat direalisasikan.

Katanya, kepakaran yang dimiliki oleh China dan kerjasama dengan syarikat tempatan dijangka mampu membina landskap baharu sektor perikanan negeri dan negara.

“Saya turut berbesar hati menerima kunjungan delegasi ini kerana dalam sektor pengeluaran ikan dunia, China menduduki tempat pertama dengan 58.8 juta tan metrik setahun", katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Bersama Delegasi dari China mengenai cadangan melaksanakan projek pembangunan Bandar Perikanan dan pembangunan bercampur di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Projek berkenaan akan dilaksanakan di atas tanah tebus guna seluas 3,500 ekar di kawasan perairan Kuala Kedah.

ROSLINA BINTI DIN